Wanita Dalam Islam


Wanita Dalam Islam

(gambar : google)

Islam merupakan sebuah agama yang adil. Perutusan nabi Muhammad SAW membawa risalah Islam adalah bertujuan agar manusia dapat hidup dalam keadaan yang harmoni. Risalah yang diwahyukan tidak pernah membezakan antara lelaki dan wanita bahkan semua manusia di sisi Islam memiliki hak yang sama rata bersesuaian dengan kemampuan mereka. Kayu ukur yang membezakan antara manusia hanyalah nilai ketakwaan sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Ḥujurāt ayat ke 13[1]. Wanita memainkan peranan penting dalam agama Islam. 

Wanita yang solehah merupakan seorang ibu yang baik terhadap anak-anaknya dan juga sebagai seorang isteri yang baik terhadap suaminya. Sosok tubuh seperti Ratu Balqis, Siti Asiah, dan Siti Khadijah bergandingan seiring kaum lelaki dalam mewarnai lembaran sejarah silam. Hal ini mengambarkan keadilan yang telah dibawa Islam terhadap golongan lelaki dan wanita.

Namun masih ada golongan seperti feminis yang merupakan pendukung ideologi feminisme umpamanya mendakwa Islam mendiskriminasi golongan wanita. Mereka berusaha mencari jalan mempertikaikan segala ketetapan Islam terhadap golongan ini. Sedangkan agama Islam memandang mulia golongan wanita serta memberi pengiktirafan terhadap hak-hak mereka. 

Menurut Urwatal Wusqa, sebelum perutusan baginda Rasulullah SAW, golongan wanita dianggap sebagai hamba dan sekadar bertujuan untuk melayani golongan lelaki. Hal ini memperlihatkan martabat wanita yang begitu rendah ketika itu. Setelah sekian lama mereka menderita, kehadiran sinar yang dibawa Islam telah mengangkat kembali martabat golongan wanita dari dihina kepada dimuliakan. Hak-hak mereka mulai dipenuhi sehinggakan ada dikalangan mereka tampil memainkan peranan penting dalam lembaran sejarah Islam beriringan dengan kaum lelaki dalam pelbagai aspek kehidupan. Inilah kehebatan Islam yang sering dinafikan oleh musuhnya.

Rujukan,

1. Urwatul Wusqa. 2011. Wanita: kedudukan dan tinjauan kerjayanya dalam kehidupan sesuai al-Quran dan Hadith. Jurnal Kajian Gender  2: 173-176.       



[1] Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.” (49:13)

Comments