Bahaya Pemikiran Feminisme


Bahaya Pemikiran Feminisme

(gambar : magdalene.co)

"Wanita solehah adalah sebaik-baik perhiasan dunia"

Islam memandang mulia kaum wanita dan memberi mereka hak-hak yang sewajarnya dalam setiap aspek kehidupan. Pada waktu yang sama, menurut Ahmad Dahlan, Nik Abdul Rahim dan Ahmad Yunus, terdapat perbezaan hak di antara golongan wanita dan lelaki yang tidak dapat dinafikan. Perbezaan ini telah dijelaskan oleh al-Quran serta diperincikan lagi oleh sunah Rasulullah SAW secara adil dan bersesuaian mengikut kemampuan kedua-dua pihak. Namun masih ada pihak yang mencemburui kemurnian agama ini telah mendakwa Islam melakukan diskriminasi terhadap wanita.

Hal ini sebagaimana didakwa oleh gerakan feminisme. Feminisme merupakan sebuah gerakan yang muncul pada zaman enlightenment di Eropah. Merupakan sebuah gerakan yang menuntut kebebasan dan kemajuan kaum wanita serta berusaha untuk melepaskan diri dari kongkongan agama. Para penyokong gerakan ini dikenali sebagai feminis. Seterusnya gerakan ini mulai menular ke negara-negara Islam dan berusaha meracuni pemikiran umat Islam terutamanya golongan wanita.

Telah lahir beberapa tokoh gerakan feminisme dari kalangan umat Islam seperti Nawal al-Sacdawi, Amina Wadud, Nurcholish Madjid dan ramai lagi. Antara usaha mereka mengeruhkan kemurniaan Islam ialah dengan menganjurkan pemikiran serta pentafsiran secara terbuka terhadap teks-teks agama. Selain itu, mereka turut menolak tafsiran yang telah dilakukan oleh ulama tradisional yang pada pandangan mereka tafsiran tersebut telah menzalimi kaum wanita.

Hal ini dapat dilihat dalam tafsiran yang dilakukan oleh golongan feminis terhadap ayat ke 256 surah al-Baqarah[1]. Mereka mentafsirkan ayat ini dengan mengatakan bahawa semua manusia berhak memilih untuk menganuti agama yang mereka sukai dan dilarang untuk memaksa suatu pegangan kepada individu lain. Sedangkan yang dimaksudkan oleh ayat tersebut ialah larangan memaksa golongan Yahudi dan Nasrani untuk menganuti agama Islam. Tafsiran yang dilakukan oleh golongan feminis ini secara jelas menunjukkan kelemahan mereka dalam mendalami ilmu tafsir. Kaedah pentafsiran mereka juga bercanggah dengan kaedah yang diamalkan oleh kebiasaan para ulama.

Menurut Ahmad Sunawari Long dan Indriaty Ismail, bentuk pentafsiran yang dianjurkan mereka ialah menggunakan kaedah hermenuetik. Kaedah ini menuntut pentafsiran semula teks-teks agama dan merekonstruksi (reconstruction) kembali syariah. Hal ini agar kesemua tafsiran yang dilakukan relevan dengan kehendak arus pemodenan kehidupan manusia sejagat serta selari dengan tuntutan perubahan tempat dan zaman. Pentafsiran menggunakan kaedah ini memuatkan pemikiran yang cenderung terhadap apa yang digagaskan gerakan feminisme yang cenderung kepada ideologi liberal. Idea-idea ini turut didukung oleh beberapa buah pertubuhan seperti Sister in Islam (SIS) yang bertapak di Malaysia.

SIS menurut Indriaty Ismail dan Ahmad Muhyuddin, merupakan sebuah pertubuhan yang memperjuangkan hak-hak asasi manusia dan prinsip-prinsip sejagat serta pentafsiran berasaskan tafsiran dari perspektif hak-hak kemanusiaan. Kewujudan pertubuhan ini mengambarkan bahawa pemikiran yang dibawa oleh feminisme sedang menular meracuni pemikiran umat Islam di Malaysia.

Seandainya keadaan ini berterusan, maka sudah semestinya kemurnian agama Islam tercemar. Sedangkan Islam bukanlah sebuah agama yang mengabaikan hak-hak kaum wanita bahkan Islam memuliakan wanita sesuai dengan kelembutan dan kesantunan yang telah dianugerahkan kepada mereka. Mereka yang mendukung pemikiran feminisme seharusnya mengkaji dengan penuh ketekunan kedudukan wanita dalam Islam agar terpancar sinar kebenaran Islam yang dimalapkan oleh pemikiran mereka sendiri.

Hakikatnya, segala kritikan dan tomahan yang dilemparkan hakikatnya adalah berpunca dari sikap yang tidak berusaha mencari kebenaran dan hidup berlandaskan prasangka semata-mata. Keadaan ini jika dibiarkan pasti menimbulkan kekeliruan dikalangan umat Islam dan  mempengaruhi pemikiran Umat Islam serta idea-idea yang dibawa oleh feminisme.

Rujukan,

1. Saidul Amin. 2013. Feminisme Dan Islam. Jurnal Ilmiah Kajian Gender. Hlm: 123-143.
2. Intan Zarina. 2012. Pandangan Skeptik Feminis Muslim terhadap agama: Suatu perbahasan. https://www.researchgate.net/publication/263621270_Pandangan_ Skeptik_Feminis_Muslim_Terhadap_Agama_Suatu_Perbahasan?enrichId=rgreq [20 Oktober 2017].
3. Ahmad Sunawari Long & Indriaty Ismail. 2011. Isu dan pertikaian hukum menurut Sister in Islam (SIS). Dlm. Prosiding Persidangan Serantau Isu-Isu Semasa IV disunting oleh Anwar Fakhri Omar, Abdul Basir Mohamad, Mat Noor Mat Zain & Mohd Zamro Muda (et al). Bangi: Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam. Hlm: 105-114.
4. Indriaty Ismail & Ahmad Muhyuddin Haji Hassan. 2013. Sister in Islam dan Hak Asasi Manusia. Kertas kerja dibentangkan di Seminar Internasional Ilmu Usuluddin dalam menghadapi tantangan global, anjuran Fakultas Ushuluddin IAIN Ar Raniry, 25 September, Banda Acheh.



[1] Maksudnya: Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang engkar kepada Taghut, dan ia beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada tali yang teguh, yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (2:256)

Comments